BEKAS Presiden Filipina, Fidel Ramos, yang memerintah antara 1992 hingga 1998, meninggal dunia hari ini pada usia 94 tahun.

Ramos, yang memegang jawatan keselamatan berpangkat tinggi sebelum diangkat menjadi presiden, diingati banyak pihak sebagai wira kebangkitan Kuasa Rakyat 1986.

Gerakan itu menggulingkan pemerintahan diktator Ferdinand Marcos Sr, bapa kepada Presiden Filipina yang dipilih baru-baru ini, Marcos Jr.

Reuters melaporkan, Ramos menjadi wira kepada banyak pihak kerana berpaling tadah daripada kerajaan Marcos, di mana dia mengetuai pasukan polis negara, mendorong kejatuhan diktator itu semasa pemberontakan rakyat pada 1986.

Walau bagaimanapun, ramai juga yang tidak akan memaafkan atau melupakan peranannya dalam menguatkuasakan undang-undang tentera di bawah rejim Marcos.

Ramos menang tipis dalam pilihan raya pada 1992 untuk menggantikan pemimpin Kuasa Rakyat Corazon Aquino yang menyingkirkan Marcos.

Walaupun dia memperoleh kurang daripada 23% undi, Ramos tidak lama kemudian mendapat 66% sokongan. Pemerintahannya dikenang sebagai tempoh keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.

Marcos Jr dalam kenyataan hari ini berkata: "Keluarga kami berkongsi kesedihan rakyat Filipina pada hari yang menyedihkan ini. Kami bukan sahaja kehilangan pemimpin yang baik tetapi juga ahli keluarga.

"Legasi pemerintahannya akan sentiasa dihargai dan akan kekal selama-lamanya dalam hati negara kita," katanya.